Kalau ada sahabat atau saudara mara yang berkunjung ke Melaka, selain dari membawa mereka bersiar-siar atau jalan-jalan keliling bandar Melaka, Restoran ini akan menjadi salah satu tempat yang akan saya bawa mereka untuk makan malam. Di Melaka banyak kedai atau restoran yang menjual masakan asam pedas tapi dengan banyak pilihan kadang-kadang kita sendiri tak tahu nak pilih yang mana satu, ada kata ikut selera, ada kata ikut tekak masing-masing tapi bagi saya, saya pilih kesuaian persekitaran dan mudah untuk mengunjunginya. Semua masakan asam pedas di Melaka memang sedap-sedap belaka, itu memang tidak dapat dinafikan, saya pilih kedai ini kerana mudah dan senang bagi saya untuk kemari dan masakannya juga memang sedap.
Terletak berhampiran bandar hilir dan jonker walk, lokasinya benar-benar strategik untuk dikunjungi. Mempunyai banyak tempat duduk selain tempat letak keretanya yang agak memanjang. Layanan yang agak pantas serta mempunyai kakitangan yang jujur. Saya pernah tertinggal kamera digital direstoran ini dan bila saya datang keesokkannya untuk bertanyakan kamera tersebut, tuan punya kedai dengan senyum memulangkannya kembali kepada saya. Mungkin kedai lain pun mempunyai staff atau pekerja yang baik, memandangkan kedai ini sentiasa dikunjungi pelanggan bermula jam 8 malam hingga lewat pagi, kebangkalian untuk menemui kembali barang berharga memang tipis tapi disini saya tak perlu khuatir dan sebab itulah kedai ini menjadi kedai tetap saya sekiranya bila tekak terasa gatal nak pekena asam pedas...ahakss
|
Asam Pedas Ikan Pari (Badan) |
|
Pilihlah yang mana satu, makan dengan set nasi putih atau makan dengan roti canai sahaja. |
|
Roti canai pun menyelerakan juga.
|
|
Inilah kedainya....
|
Asam pedas ini mempunyai pelbagai pilihan ikan yang ingin dimakan seperti pari, kembong, siakap dan daging tetel pun ada juga. Bila kemari, kalau makan dengan roti canai selalunya saya order 3 keping sekali dan asam pedas pula jenis ikan pari (badan) dan juga daging tetel. Kuah asam pedas ini akan saya hirup bila ianya dah suam-suam kuku, kalau baru sampai jangan dicuba, mahu melecur lidah dibuatnya. Bagi sesetengah tempat, kuah asam pedas akan dibubuh didalam pinggan sahaja, disini kuahnya akan diletak didalam bekas claypot. Mungkin inilah kelainan yang kita perolehi dikedai ini.
Kalau tuan-tuan berkunjung ke Melaka, cuba-cubalah menikmati asam pedas disini dan kalau tak dapat cari kedai ini, carilah dikedai yang lain kerana semuanya tetap enak-enak di Melaka ini. Cuma pesan saya, berhati-hati memilih kedai makan, pastikan ianya bersih dan teratur, takut nanti kesedapan yang kita pilih kesakitan pula yang menghinggap. Selamat datang ke Melaka, Kota sejarah seribu warisan.
...
No comments:
Post a Comment